Oleh Norhadiani Baharom
MELAYARI satu persatu babak Kami The Movie (KTM), bagaikan sedang membaca laporan akhbar masalah sosial remaja hari ini. Penyalahgunaan Internet, kes buli, lari dari asrama, dadah dan kepincangan institusi kekeluargaan antara konflik membelenggu kehidupan generasi sekarang.
Meskipun setiap elemen dimuatkan hanya sebagai penggerak cerita, namun inilah realiti dan jika terus dibiarkan bakal merosakkan minda.
Keberkesanan KTM yang ditangani pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak selaku pengarah bersama dalam membawa penonton menyelami kehidupan remaja hari ini patut diberi pujian.
Malah tidak keterlaluan dikatakan daripada lima watak utama, Lynn, Adii, Abu, Sofie dan Ali termasuk watak pembantu, Boy, anda mungkin mewakili karakter seorang daripada mereka.
Menurut, Fariza Azlina Isahak yang juga bertindak selaku penulis skrip KTM, permasalahan remaja diketengahkan kerana itulah realiti dalam kehidupan masyarakat.
“Semua orang pernah melalui zaman remaja dan biasanya golongan ini suka melakukan sesuatu perkara mengikut kata hati dan jarang memikirkan kesannya. Naluri mereka juga kuat memberontak.
“Bagi saya, kehidupan remaja satu proses untuk mempelajari sesuatu dan membaiki kesilapan. Sebagai contoh, biasanya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) remaja hanya tahu ‘enjoy’ daripada memikirkan masa depan mereka.
“Realiti inilah yang dipaparkan dalam KTM. Remaja mengambil dadah, perkara seperti ini memang wujud dan biasanya mereka mengambil hanya untuk berhibur semata-mata dan ada juga yang terjebak kerana tekanan,” katanya.
Katanya, cabaran menghasilkan KTM cukup besar kerana transformasi drama ke filem memerlukan kreativiti tinggi.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini pada awalnya saya menulis skrip Kami untuk filem bukan drama. Bagaimanapun produser Red Films, Lina Tan memberikan idea supaya skrip ini diubah kepada drama bersiri.
“Saya dan suami menerima idea berkenaan dan melihatnya daripada sudut positif kerana perlu kami akui penerbitan drama platform terbaik untuk memperkenalkan nama seseorang pengarah itu.
“Lapan episod dihasilkan dan untuk memberikan tontonan terbaik buat penonton kami mengupas pelbagai isu serta tampil dengan jalan cerita yang menarik setiap minggu,” katanya.
Ditemui pada majlis pratonton filem KTM di Cineleisure Mall baru ini, Fariza menambah, apabila tumpuan 100 peratus diberikan kepada drama, cabarannya terpaksa dihadapi mereka saat mencari idea baru menghasilkan KTM.
“Kami perlu memerah otak untuk mendapatkan idea baru agar olahan skrip untuk filem lebih baik dan kemas daripada drama. Pada masa sama mengekalkan jalan cerita asal.
“Justeru, perkara utama yang kami lakukan adalah untuk memperkenalkan karakter lima watak utama. Kemudian kami munculkan konflik dalam hubungan persahabatan lima sahabat itu dengan memasukkan masalah sosial remaja masa kini.
“Saya yakin bagi mereka yang tidak pernah menyaksikan siri Kami mereka akan tetap faham dengan jalan cerita ini,” katanya.
Filem usaha sama Grand Brilliant dan Red Films ini dibintangi Syarul Ezani sebagai Ali, Liyana Jasmay (Lynn), Nas Muammar Zar (Nas-t), Zeyna Ibrahim (Adii), Juliana Evans (Sofie) dan Zahiril Adzim (Boy).
KTM yang mengangkat pergolakan kehidupan remaja ini dimantapkan lagi dengan elemen persahabatan, percintaan dan cita-cita akan menjengah pawagam pada hari raya pertama.
Liyana berkata, Kami memberi pengalaman yang berbeza buatnya kerana inilah kali pertama dia membintangi filam yang dibarisi pelakon seusianya.
“Kebanyakan filem saya lakonkan sebelum ini kebanyakan dibintangi aktor dan aktres berpengalaman. Secara peribadi saya sukakan watak Lynn, kerana watak ini dapat menjadi contoh dan membantu remaja di luar sana yang terjebak dengan aktiviti pengedaran dadah supaya meninggalkan pekerjaan mereka itu.
“Ini kerana risiko yang diambil Lynn bukan saja menyebabkan dia berdepan dengan bahaya malah turut menyebabkan nyawa orang di sekelilingnya terancam sebagaimana dipaparkan dalam KTM.
“Saya yakin penonton pasti terhibur dan mendapat manfaat apabila menonton filem ini. Malah saya meminta remaja menyaksikannya di pawagam kerana KTM adalah cermin kehidupan remaja masa kini yang perlu dijadikan teladan,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar